TAMAN HIDUPAN LIAR LANGKAWI
LANGKAWI 4 Sept. - Taman Hidupan Liar Langkawi (THLL) yang juga dikenali sebagai Langkawi Bird Paradise yang terletak di Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah di sini sememangnya menjadi salah satu tempat tumpuan bagi pelancong yang berkunjung ke pulau legenda ini.
Tidak ubah seperti mini zoo, destinasi pelancongan ini menempatkan 200 spesies burung, 50 spesies haiwan yang dilindungi dan kira-kira 60 spesies haiwan yang biasa didapati di luar dan dalam negara.
Lokasinya yang terletak tujuh kilometer dari jeti Kuah dan kira-kira 30 kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat menjadikannya destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara.
Ketua Bahagian Perhubungan Awamnya, Nur Hamzani Hamzah berkata, taman itu dirasmikan pada 24 Disember 2002 oleh Menteri Besar pada masa itu, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain.
"THLL ini berkonsepkan mesra alam yang mana pengunjung boleh mendekati burung ketika berada di dalam sangkar gergasi kerana kebanyakannya telah dijinakkan oleh kakitangan kami yang terlatih," katanya ketika ditemui di Wildlife Park di Belanga Pecah, di sini baru-baru ini.
Selain itu, kata beliau, pengunjung juga berpeluang memberi makanan kepada burung dan beberapa haiwan liar lain.
"Ia pasti menjadi pengalaman yang menarik dan tidak dilupakan oleh pengunjung yang datang ke sini," ujarnya.
Terbaharu, ujar Nur Hamzani, pihaknya berjaya membiakkan spesies burung yang merupakan lambang burung kebangsaan negara Uganda yang juga dikenali sebagai burung Raja Mahkota atau nama saintifiknya Grey Crowned Crane.
Kata beliau, dua telur burung itu menetas pada 7 Ogos dan 8 Ogos lalu.
"Ini merupakan kali kedua kita berjaya membiakkan burung yang hampir pupus ini yang mana kali pertama kira-kira setahun lalu," katanya.
Kata beliau, jangka hayat burung itu boleh mencecah sehingga 50 hingga ke 60 tahun dan akan bertelur pada musim hujan antara bulan Ogos hingga September.
"Keunikan burung ini adalah pada mahkotanya yang merupakan lambang kemegahannya yang tersendiri," ujarnya.
Sementara itu, Pembantu Penyelidikan dan Pembiakan THLL, Muhamad Fuad Abdullah memberitahu, beliau perlu memantau anak burung yang baru menetas itu dengan lebih teliti.
"Selain itu, kami juga perlu memastikan telur-telur burung ini yang disimpan di dalam mesin inkubator berada di dalam suhu antara 37 darjah Celsius hingga 38 darjah Celsius.
0 comments: