Put your ad code here

Sunday, 8 March 2015

LE TOUR DE LANGKAWI (LTdL) 2015 BERMULA

LANGKAWI - Cuaca panas yang sudah sebati dengan Andrea Guardini memberikan kelebihan kepada pakar pecut tersebut mengulangi pencapai­annya tahun lalu dengan menakluk peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 semalam.

Pelumba dari pasukan berstatus World Tour, Astana Pro Team Pelumba berusia 25 tahun itu menamatkan peringkat mengelilingi Pulau Langkawi, yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang itu dalam masa 2 jam 18 minit 56 saat untuk merangkul dua jersi sekali gus, iaitu jersi kuning selaku pemenang individu keseluruhan dan biru (Raja Pecut).

Malah, kejayaan tersebut melakar rekod baharu buat pelumba kelahiran Itali itu dengan 15 kemenangan peringkat sepanjang lima kali berturut-turut menyerta LTdL.

Tempat kedua dimenangi pelumba Australia yang mewakili Orica Greenedge, Caleb Ewan dengan catatan masa 2.19’00”, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Anuar Manan ketiga.
Peringkat pertama juga menyaksikan jersi merah selaku Raja Bukit dimiliki pelumba Unitedhealthcare Professional Cycling Team, Kiel Reijnen dari Amerika Syarikat, manakala jersi putih (pelumba terbaik Asia) kepunyaan Guantong.


“Saya tiada masalah dengan cuaca panas mahupun sejuk dan keserasian ini memberikan saya satu kelebihan yang tiada pada pelumba lain.

“Saya gembira kerana dapat membalas kepercayaan pasukan memandangkan saya baru pulang dari kejohanan di Oman dan Dubai.


“Kemenangan ini adalah permulaan yang baik dalam LTdL dan turut menyuntik semangat saya untuk meraih kemenangan di peringkat sete­rusnya,” kata pelumba yang mewakili pasukan berpangkalan di Kazakhstan itu selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, perlumbaan peringkat kedua hari ini, yang akan bermula di Alor Setar dan berakhir di Sungai Petani sejauh 185 kilometer melibatkan tiga zon pecutan iaitu di Pokok Sena, Kuala Nerang dan Tandop Besar serta tiga pendakian di Jeniang dan Bukit Selambau.


Dalam pada itu, Ewan, 21, menyifatkan tempat kedua yang dimenanginya itu juga merupakan permulaan yang baik memandangkan dia pertama kali menyertai LTdL.

“Beza empat saat di belakang Andrea adalah suatu keputusan yang memberangsangkan.



“Kalau nak diikutkan, dia mempunyai banyak pengalaman di sini. Tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak berusaha merampas jersi ku­ning dalam perlumbaan seterusnya,” kata pelumba dari Australia itu.
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: