Semakin kebanyakan rakyat Malaysia mengharapkan cerita mengenai ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kesalahan meliwatnya reda, sebaliknya di pihak beliau dan partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta sekutu Pakatan Rakyat (Pakatan) nampaknya lebih cenderung untuk terus mensensasikan isu tersebut demi kepentingan politik mereka.
Keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar untuk mengenepikan sabitan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang sekaligus menyaksikannya dijatuhi hukuman penjara lima tahun, seperti yang sudah dijangka, terus cuba dimanipulasikan semaksimum yang mungkin oleh pemimpin-pemimpin pembangkang sebagai usaha mereka memperlihatkan kepada rakyat negara ini kononnya Malaysia dipimpin oleh sebuah kerajaan yang zalim. Berturut-turut usaha digerakkan oleh orang-orang kanan Anwar baik ‘yang bertamadun’ ataupun ‘yang tidak bertamadun’ di dalam menunjukkan protes mereka terhadap keputusan mahkamah yang ‘zalim’ pada pandangan mereka itu.
Anwar sendiri di dalam usahanya untuk memperoleh ‘pulangan’ daripada publisiti berterusan kesnya itu pula bagaimanapun kelihatannya agak kucar-kacir di dalam percaturan beliau selain semakin tidak konsisten di dalam menyatakan pendiriannya berhubung kesalahan meliwatnya itu. Tindakan yang diambil beliau serta penyokong-penyokongnya telah beberapa kali terbukti bercanggah dengan kenyataan-kenyataan yang beliau sendiri umumkan.
Imbas kembali kata-kata Anwar di dalam ucapan beliau kepada para penyokongnya sehari sebelum dihukum penjara, dengan lantang dan tegasnya ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan tidak takut sekiranya beliau dipenjarakan. Perjuangannya untuk rakyat ujar Anwar, akan tetap diteruskan sekalipun beliau meringkuk di dalam penjara.
Namun begitu hanya setelah beberapa hari menjalani hukuman, dengan liputan berita mengenai dirinya terus menjadi topik utama kebanyakan organisasi media terutamanya yang ‘mesra pembangkang’ setiap hari, nada ‘heroic’ Anwar seakan-akan pudar apabila membuat permohonan pengampunan DiRaja yang dikemukakan kepada yang Dipertuan Agung, yang sekaligus mengekalkan statusnya selaku ahli Parlimen buat masa ini sehinggalah keputusan permohonan pengampunan diketahui.
Untuk rekod, Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kelayakan seseorang ahli Parlimen itu terlucut sekiranya disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.
Beberapa hari selepas permohonan pengampunan dikemukakan, partinya, PKR telah menyatakan hasrat untuk meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat supaya membenarkan Anwar yang merupakan Ketua Umum parti itu untuk menghadiri Sidang Parlimen yang bakal bermula 9 Mac ini dengan alasan beliau masih lagi berstatus seorang ahli Parlimen.
Perkara ini telah menimbulkan persoalan di kalangan pelbagai pihak yang mengikuti perkembangan cerita liwat ini yang seolah-olahnya tidak berpenghujung dan tidak surut dengan ‘drama’. Antara persoalan yang dibangkitkan adalah bolehkah seorang banduan yang sedang menjalani hukuman menyertai sesi perbahasan di dalam persidangan Dewan Rakyat, berbahas dan memainkan peranannya selaku penggubal undang-undang.
Penulis cuba membayangkan bagaimanakah situasinya sekiranya Anwar, yang secara teknikalnya seorang banduan, dan dalam masa yang sama juga secara teknikalnya masih lagi seorang ahli Parlimen, dibenarkan untuk menyertai persidangan Dewan Rakyat itu.
Pastinya ia bakal menjadi satu lagi ‘fenomena’ di luar daripada ‘norma’! Sekiranya ia berlaku, penulis tidak menolak kebarangkalian akan terbitnya sebuah buku bertajuk ‘A Convict in The House’.
Kembali serius, secara peribadi penulis berpendapat isu ini lebih membawa impak yang negatif kepada rakyat Malaysia secara umumnya bagi jangka waktu panjang daripada yang positif. Hakikatnya, tak salah sekiranya penulis menyatakan impak positif isu ini hanyalah kepada Anwar dan sekutunya semata-mata, tidak sama sekali memberikan faedah kepada rakyat ‘yang diperjuangkan’ Anwar.
Perlu ditegaskan bahawa sekiranya kebenaran diberikan kepada Anwar, ia akan menjadi satu peristiwa bersejarah buat sistem demokrasi di Malaysia dan sudah pastilah akan terus menjadi sebutan dan rujukan bagi satu jangka masa yang panjang, sesuatu yang sememangnya disasarkan Anwar dan orang-orang kanannya, publisiti yang berterusan. Pakatan pasti akan sehabis boleh memanipulasikan cerita liwat ini untuk kepentingan politik mereka.
Sementara dari sudut moral pula, penulis percaya majoriti rakyat Malaysia pastinya tidak sanggup lagi mendengar ataupun membaca perkataan liwat ataupun apa-apa cerita mengenai kes Anwar meliwat ini apatah lagi untuk jangka panjang.
Seperti yang telah dinyatakan, sekiranya Anwar diberi kebenaran untuk menyertai sesi Dewan Rakyat, ia akan menjadi sejarah. Pastinya kita tak sanggup untuk melihat fakta bersejarah di negara ini berlatarbelakangkan kisah banduan yang dijatuhi hukuman penjara kerana meliwat. Bagai langit dengan bumi jika nak dibandingkan dengan perjuangan Mahatma Gandhi di India dan juga Nelson Mandela di Afrika.
Seharusnya pimpinan pembangkang termasuklah Anwar sendiri berlapang dada menerima hakikat yang berlaku. Dan sekiranya benar kepentingan rakyat merupakan agenda utama perjuangan mereka, cerita liwat ini haruslah dihentikan serta-merta dari terus disensasikan kerana mahu atau tidak perlu diakui ia membawa kepada pengaruh yang tidak baik kepada generasi muda. Jika pembangkang selama ini mendakwa kerajaan sebagai tidak bermoral dalam cerita Anwar meliwat ini, secara jujurnya penulis lihat pihak pembangkang sendiri sebenarnya yang tidak sudah-sudah memberikan publisiti kepada kes ini hingga ke peringkat antarabangsa liputan mengenainya diberikan.
Hakikatnya yang perlu diberi perhatian oleh penyokong-penyokong setia pembangkang yang sanggup berkorban nyawa demi pemimpin mereka adalah ‘idola-idola’ mereka sebenarnya tidak peduli akan kesukaran yang ditempuhi mereka. Agenda memperjuangkan rakyat juga tidak lebih dari sekadar retorik semata-mata.
Sebaliknya pemimpin kesayangan mereka ini lebih berselera untuk mengorbankan para pengikut setia demi kepentingan untuk berkuasa seperti yang sudah terang lagi bersuluh dibuktikan oleh pemimpin ‘anugerah tuhan’ mereka yang sejak dari dipenjarakan kelihatan begitu sibuk sekali ‘berjuang’ untuk diri sendiri, bukannya untuk rakyat seperti yang dimomokkan sehari sebelum dipenjara. By Aidil Syukri
0 comments: