Put your ad code here

Friday 30 January 2015

AZIZ DESA TERLANTAR DI HOSPITAL LANGKAWI

Bekas selebriti TV3 Aziz Desa, 50, kini terlantar di Hospital Langkawi (HL) akibat masalah buah pinggang yang kronik dan penyakit kencing manis.

Aziz atau nama sebenar Abdul Azid dimasukkan ke hospital itu sejak dua hari lalu selepas pengsan di rumah adiknya di Kampung Bayas, di sini.

Menurutnya, doktor mengesahkan penyakit buah pinggangnya berada pada tahap serius dan sedang menunggu ujian darah sebelum menjalani proses heamodialis dalam tempoh terdekat.

"Ini adalah kali keempat saya masuk hospital akibat penyakit serius. Sebelum ni saya masuk hospital kerana penyakit kencing manis.

"Saya kemudian disahkan pula menghadapi masalah buah pinggang pada tahap lima dan perlukan rawatan lanjut," katanya.

Beliau bersemangat sekali menerima tetamu yang datang melawat dan sempat menceritakan kisah-kisah lama.

"Arwah Cikgu Man adalah ayah angkat saya semasa saya kecil dulu" katanya.


Wednesday 28 January 2015

KEMALANGAN MAUT DI LANGKAWI


Langkawi: Dua pelancong maut apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta di persimpangan Jalan Kilim-Ayer Hangat, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian 3.25 petang itu, penunggang skuter, Tarek Ibrahim Ahmed Hamza, 45, seorang doktor berasal dari Garbia, Mesir, disahkan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.


Pasangannya yang juga pembonceng, Marwa Ibrahim Ahmad Elbendary, 39, seorang ahli farmasi, patah rusuk dan paha dilaporkan mati ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Langkawi (HL).

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Harrith Kam Abdullah berkata, kemalangan berpunca apabila skuter dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuah ke Ayer Hangat telah memasuki laluan bertentangan dan brek mengejut.


"Penunggang terbabit hilang kawalan menyebabkan mereka terjatuh di atas jalan raya sebelum kedua-duanya dirempuh kereta dari arah bertentangan.


"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sunday 25 January 2015

LAGI TANGKAPAN DADAH DI LANGKAWI


25 Januari 2015 – Kira-kira jam 2.30 petang tadi,bertempat di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah diadakan sidang media oleh SUPT Abd Razak bin Md Zin ,Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kedah berkaitan kejayaan dan tangkapan dan rampasan dadah.

Bertarikh 21 Januari 2015 jam lebih kurang 11.00 pagi,sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah telah berjaya menangkap 2 orang lelaki di sekitar Kuala Kedah dan telah merampas 5 paket dipercayai dadah jenis syabu anggaran berat 407.00gm dan 5 paket dipercayai dadah jenis heroin anggaran berat 2.3kg bernilai RM 79,000.00 yang telah dijumpai di dalam kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki oleh kedua-dua sapek.Turut disita wang tunai RM 2005.00 yang dipercayai hasil jual beli dadah.


Kedua-dua saspek ditahan reman dan kes disiasat di bawah sek 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam satu kes yang berasingan,bertarikh 22 Januari 2015 jam lebih kurang 9 pagi sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik,IPD Langkawi telah berjaya menangkap satu lelaki di kawasan Kompleks Jeti Feri Kuah,Langkawi.Hasil pemeriksaan telah menjumpai dipercayai dadah jenis syabu anggaran berat 250gm di dalam beg silang yang dipakainya.Nilai rampasan yang dianggarkan RM 27,500.00.

Hasil dari tangkapan tersebut,pihak polis telah membuat tindakan susulan pada hari yang sama jam lebih kurang 1.50 petang telah menyerbu sebuah rumah di Kedawang ,Langkawi.Hasil serbuan tersebut,pihak polis telah menangkap 2 lelaki dan 1 orang wanita dan merampas 72.6gm dipercayai dadah jenis Heroin,0.5gm syabu dan sebiji pil WY.


Ketiga-tiga saspek ditahan reman sehingga 29/1/2015 dan kes disiasat di bawak akta 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber PDRM Kedah

Sunday 18 January 2015

DARJAH SETIA DIRAJA KEDAH - TUAN GURU PAK TEH MAT BERGELAR DATO'

Alhamdulillah..syukur ke hadrat Allah apabila ulamak tersohor daripada bumi Padang Terap iaitu Tuan Guru Pak Teh Mat telah terpilih sebagai salah seorang daripada penerima Darjah Setia Diraja Kedah yg membawa gelaran Dato. Sebenarnya admin mendapat perkhabaran ini pada malam semalam. Namun atas dasar menghormati pihak bertanggungjawap maka hal ini tidak dihebahkan . Admin sudah menyediakan slot khas khusus untuk Tuan Guru Pak Teh Mat ini. Jom kenali ulamak tersohor ini..

Nama sebenar Pak Teh Mat ialah Haji Ahmad bin Haji Muhammad Nor. Namun di sebelah Padang Terap dan Pokok Sena beliau lebih dikenali sebagai Pak Teh Mat sahaja. Pak Teh Mat adalah pengasas Sekolah Agama Ahmadiah,Padang Nyior,Padang Terap,Kedah. Beliau dilahirkan pada malam jumaat 14 Syaaban 1328 bersamaa dengan 14 Mac 1925 di Kampung Bukit Sebelah,Kariah Padang Gelenggang,Padang Terap. Mendapat pendidikan awal di SekolahKebangsaan Padang Terap pada tahun 1931 hingga lulus darjah empat pada tahun 1935.


Kemudian beliau meneruskan pengajian beliau di Pondok Merbok,Bedong Kedah. Di sini beliau berguru kepada Tuan Guru Mursyid DiRaja Haji Abdurrahman bin Haji Abdullah yg lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdurrahman Merbok. Pak Teh Mat juga menjadi pelajar terbaik di Pondok Merbok. Antara pantun Tuan Guru Abdurrahman Merbok yg masih diingati oleh Pak Teh Mat ialah :

Empat kepoi satu cupak
Empat cupak satu gantang
Tidak betoi ibu bapak
Anak-anak lintang pukang.

Kemudian pada tahun 1940, Pak Teh Mat belajar dengan ulamak zuhud terkenal iaitu Tuan Guru Haji Saad bin Lebai Awang di Pondok Mogoi sehingga tahun 1943. Atas saranan gurunya iaitu Tuan Guru Haji Saad, beliau meneruskan pengajiannya di Pondok Gajah Mati. Di sini beliau berguru dengan Tuan Guru Pak Chu Him dan Tuan Guru Sheikh Abdul Qadir Al Mandili (guru pembantu) sehingga tahun 1947. Tuan Guru Pak Chu Him menyarankan agar Pak Teh Mat melanjutkan pengajiannya di Mekah pula. Takdir Tuhan..ketika itu ayahanda Pak Teh Mat meninggal dunia akibat sakit tua. Setelah genap 7 hari ayahanda tercintanya meninggal, Pak Teh Mat mula berangkat ke Mekah bagi mencari ilmu agama.

Perjalanan ke Mekah pada zaman itu bukannya seperti zaman sekarang. Pak Teh Mat terpaksa berjalan kaki berkelana meredah hutan belantara mendaki bukit bukau untuk menuju ke pelabuhan di Pattani,Thailand. daripada Pattani,Pak Teh Mat akan menaiki kapal laut selama 3 bulan sebelum tiba ke destinasinya. Pakteh Mat bermukim di Mekah selama 10 tahun. Di Mekah beliau berguru dengan Syeikh Wan Ismail bin Wan Abdul Qadir Al Fathani atau lebih dikenali sebagai Pak Da Eil yg merupakan pengarang Kitab Bakurah Al Amani. Di Mekah juga beliau belajar dengan Syeikh Abdul Wadir bin Abdul Muthalib Al Mandili, Sheikh Daud Kelantan,Syeikh Afnan Al Jawi, Syeikh Sulaiman Al Jawi, Syeikh Zakaria Bila, Syeikh Hassan Al Masyath,Sayyid Alawi dan lain-lain lagi.

Pak Teh Mat mendirikan rumahtangga dengan anak gurunya sendiri Pak Chu Him iaitu Hajah Wan Solehah Binti Haji Wan Ibrahim Al-Fattani (Pak Chu Him) yg diakadkan sendiri oleh Tuan Guru Pak Da Eil di Mekah. Selepas beliau kembali ke tanahair. Pak Teh Mat telah membuka pondok pengajian di Padang Nyior,Padang Terap,Kedah di atas tanah seluas 8 relung. Terdapat 180 buah pondok di mana 30 daripadanya adalah pondok pelajar putera,40 pondok lagi merupakan pondok pelajar puteri dan selebihnya pula adalah pondok bagi warga tua.

Sebelum ini Pak Teh Mat pernah mendapat pingat PJK sebelum ini serta pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah dan Negeri. Malah Pak Teh Mat juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru dan Pendakwah dan dilantik menjadi Guru Taa'mir di surau dan masjid.

Begitulah serba sedikit latar belakang seorang tokoh ulamak yg disegani iaitu Pak Teh Mat. Bagi admin,Pak Teh Mat merupakan tokoh ulamak besar Ahli Sunnah Wal Jamaah yg masih lagi hidup. Malah admin juga merasa berbangga apabila YAB MB Kedah sendiri yg mencadangkan agar Pak Teh Mat ini dikurniakan darjah kebesaran yg membawa gelaran Dato yg kemudiannya disokong oleh daripada UMNO Bahagian Padang Terap (bukan individu). Inilh yg kita mahukan. Ulamak turut sama diberi pengiktirafan terhadap sumbangan mereka kepada masyarakat selama ini. Gandingan umarak dan ulamak di negeri Kedah ketika ini pasti akan menghasilkan hasil yg sangat baik di kemudian hari. In Sya Allah.

Monday 5 January 2015

IR. NAWAWI MENGUTAMAKAN KEBAJIKAN KTMB - SYABAS DATUK

 6 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberi jaminan pihak pengurusan  akan mengutamakan kebajikan petugas-petugasnya serta keluarga mereka, terutamanya dalam soal wang, kediaman dan persekolahan anak-anak yang terjejas banjir.

Pengerusi KTMB Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, ramai petugas dan keluarga kakitangan KTMB turut terjejas dalam banjir yang luar biasa kali ini.

“Hari ini pengurusan buat keputusan membayar duit ex gratia RM500 seorang atau minimum setengah bulan gaji. Dalam minggu ini juga, kita akan release lagi RM500 untuk bantuan banjir, dan RM1,000 di bawah jawatankuasa kebajikan KTM,” katanya di Kuala Krai, Isnin.

Beliau berharap bantuan berkenaan dapat membantu petugas menguruskan hal sekolah anak-anak, di samping keputusan kerajaan untuk mempercepatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Nawawi yang juga ahli parlimen Langkawi berkata petugas-petugas yang kawasan mereka terjejas teruk mungkin akan ditempatkan di kawasan lain mengikut skop tugas masing-masing.

Beliau turut meminta pengurus stesen kawasan yang terjejas supaya mendapatkan kuarters sementara bagi petugas-petugas yang kediaman mereka musnah akibat banjir.



Nawawi turut melahirkan penghargaan kepada Rejimen Pakar Pengendalian Keretapi ke-50 Rejimen Askar Jurutera Diraja atas komitmen mereka ketika terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir serta membantu membersihkan landasan dan stesen yang terjejas.