CALET berkonsepkan kontena yang dibina sendiri, The Cabin menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong yang inginkan kelainan ketika bercuti di pulau peranginan negara, selain lokasinya yang terletak di pantai tumpuan ramai iaitu Pantai Chenang, Langkawi.
The Cabin mula beroperasi pada 2009 dengan permulaan cuma 10 bilik sahaja sebelum ditambah kepada 10 unit lagi oleh pemiliknya, Datuk Azliy Rosli, 43. Tambahan dibuat setelah calet tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong.
Bercerita tentang The Cabin, kata Azliy, idea untuk membuka calet tersebut timbul setelah beliau dan keluarga kerap berkunjung ke Pulau Langkawi untuk bercuti.
“Saya rancang nak buka calet dan yang pastinya konsep itu mestilah unik dan lain daripada hotel di Langkawi ini.
“Lokasi The Cabin juga sangat menarik kerana ia terletak di Jalan Pantai Chenang dan hanya berada kira-kira 100 meter dari pantai,” katanya.
Menurut Azliy, kos keseluruhan pembinaan calet itu bernilai kira-kira RM1 juta dan calet tersebut menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.
Beliau berkata, kedudukan calet juga strategik iaitu terletak berdekatan kemudahan asas seperti kedai runcit, restoran dan pusat membeli-belah seperti Chenang Mall serta destinasi pelancongan Underwater World.
Dari segi dekorasi dalaman bilik, pemilihan warna yang terang di setiap sudut bilik dengan dilengkapi hiasan sentuhan moden menjadikan The Cabin bertambah menarik dan sangat mendamaikan untuk penghuninya.
Selain menitikberatkan hiasan dalaman, The Cabin juga kelihatan cukup indah dengan persekitaran yang dipenuhi landskap taman, antaranya pohon kelapa dan lampu hiasan.
Taman tersebut menjadi tarikan di The Cabin dan amat sesuai untuk pengunjung berehat sambil menghayati keindahan alam semula jadi di luar bilik mereka.
Calet ini turut menyediakan pelbagai pakej menarik kepada pengunjung termasuk bagi pasangan pengantin baharu iaitu pakej berbulan madu yang disediakan dengan bayaran serendah RM565 selama tiga hari dua malam meliputi pakej makan malam, island hopping dan banyak lagi.
Pantai awam yang terletak berdekatan juga menjadi tempat tumpuan pelancong yang menyediakan pelbagai aktiviti pantai seperti jet ski, banana boat dan payung terjun, sekali gus menjadikan The Cabin sebagai pilihan utama untuk menginap.
Dalam pada itu, seorang pelancong dari United Kingdom, Lionel Becherel, 57, berkata, dia amat berpuas hati dengan kemudahan yang ditawarkan di The Cabin.
“Selain bilik yang unik, saya juga tertarik dengan kawasan laman di sini. Semuanya lengkap dan harga bilik juga amat berpatutan,” katanya.
Harga bilik adalah RM160 yang mana harga sama turut ditawarkan pada musim cuti sekolah dan perayaan.
0 comments: