Saya tidak jangka perkara ini akan berlaku. Malah, tarikh menunaikan haji sudah ditetapkan pada semalam.
"jika mengikut jadual asal peperiksaan, sudah tentu saya boleh menunaikan rukun Islam kelima itu dengan tenang.”
Demikian kata murid Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, Baling, Kedah, Siti Naziatul Iffah Yaakub, 12, yang tetap meneruskan hasrat menjadi tetamu Allah walaupun murid tahun enam seluruh negara kini kegelisahan kerana terpaksa mengulangi semula peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan kebocoran soalan.
Jemaah haji termuda itu berkata, walaupun teruja untuk menunaikan haji bersama ibu dan bapanya dia tetap resah tidak dapat menduduki peperiksaan ulangan bagi kertas Bahasa Inggeris dan Science, 30 September ini.
Sebelum ini, saya sudah buat persiapan rapi. Tapi, tidak menjangka masalah ini akan timbul dan semua murid perlu mengulang semula dua itu.
Sebagai persediaan ke Tanah Suci saya terpaksa membahagikan masa antara mengulang kaji pelajaran dan mengikuti kursus haji bersama ibu dan ayah,” katanya.
Dia yang juga anak tunggal dalam keluarga berkata, sebelum ini pernah menjejakkan kaki ke tanah suci ketika mengerjakan ibadah umrah bersama ibu dan ayahnya.
Sementara itu, ibunya, Rabiah Harun, 57, berkata, dia dan suami tidak mempunyai pilihan selain membawa bersama Siti Naziatul Iffah ke tanah suci walaupun tahu anaknya perlu menduduki semula peperiksaan UPSR.
Sebelum ini dia juga sudah berbincang mengenai perkara itu bersama guru besar sekolah anaknya, untuk mencari penyelesaian berhubung masalah dihadapi mereka.
Diharapkan akan ada penyelesaian terbaik bagi masalah ini selepas kami pulang dari tanah suci kerana saya dan suami risau dengan nasib Siti Naziatul Iffah. Sebelum ini, dia mendapat keputusan agak cemerlang pada peperiksaan percubaan.
Siti Naziatul Iffah memperoleh 4A1B. Tapi, apa juga keputusan selepas ini harap ia membawa kebaikan kepada anak saya dan yakin kepada ketentuan Allah,” katanya
0 comments: