Selepas merengkok lebih enam bulan di penjara di Sweden atas kesalahan merotan anaknya, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, Shalwati Norshal, 46, akhirnya dibebaskan pada pukul 3.35 petang semalam (waktu Malaysia).
Adik Shalwati, Shaleena memberitahu, kakaknya yang dibebaskan lebih awal berbanding tempoh hukuman 14 bulan telah dijemput oleh beberapa pegawai kedutaan Malaysia di negara berkenaan dan beberapa orang ahli keluarganya.
“Dia dijadualkan akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini bersama suami (Azizul Raheem Awaluddin) pada pukul 7.30 malam Rabu ini,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu, empat orang anak Shalwati, Aisyah, 15, Ammar, 13, Adam, 12, dan Arif, 8, nyata teruja apabila masing-masing berpeluang melepaskan rindu dengan ibu mereka yang terpisah sejak sembilan bulan lalu melalui panggilan video malam tadi.
Sebelum ini, Mahkamah Daerah Solna di Stockholm mendapati Shalwati dan suaminya, Azizul Raheem Awaluddin, 38, yang juga Pengarah Pelancongan Malaysia di Sweden, bersalah atas tuduhan mencabuli integriti dan mengasari empat anak mereka, Aisyah, 15; Ammar, 12; Adam, 11 dan Arif, tujuh tahun.
Shalwati dihukum penjara 14 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK67,200 (RM33,909) manakala Azizul dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan diperintah membayar pampasan SEK36,400 (RM18,367) kepada anak mereka. Azizul dibebaskan 9 Julai lalu.
0 comments: