Put your ad code here

Saturday 5 December 2015

PERHIMPUNAN JKKK/P PERINGKAT KEBANGSAAN 2015

KUALA LUMPUR 3 Dis. – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan JKKK Persekutuan (JKKKP) dilihat sebagai benteng ampuh pertahanan negara kerana merupakan elemen penting dalam kepemimpinan akar umbi yang menjadi tunjang kepada pembangunan kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, golongan itu merupakan suara rasmi kerajaan dalam menyampaikan maklumat setiap program pembangunan serta menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

Untuk itu, kata beliau, JKKK dan JKKKP perlu melalui proses transformasi bagi memperkasa dan melahirkan pemimpin yang berkemampuan khususnya dalam membangunkan kawasan luar bandar.
“Pemerkasaan peranan JKKK dan JKKKP merupakan salah satu daripada dasar transformasi luar bandar kementerian agar mereka dapat merancang dan memantau projek pembangunan di kampung masing-masing.

“Bagi merealisasikan matlamat itu, kementerian menerusi Institut Kemahiran Desa (Infra) telah merancang pelbagai kursus termasuk seminar pemantapan akar umbi, kursus pengurusan desa, pengurusan bencana, pelancongan desa dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan JKKK dan JKKKP Malaysia 2015 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perhimpunan yang julung-julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan lebih 10,000 pemimpin JKKK dan JKKKP dari seluruh negara.


Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Datuk Alexander Nanta Linggi serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Ariff Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, perhimpunan tersebut merupakan kemuncak kepada program turun padang yang dilaksanakan bagi bertemu dengan lebih 15,000 JKKK dan JKKKP.


“Diharap program ini dapat mempertingkatkan lagi rangkaian kerja strategik antara kerajaan dengan kepimpinan negeri dan desa bagi menjayakan program transformasi luar bandar,” katanya.