Put your ad code here

Saturday 30 May 2015

KG KURONG TENGAR, PERLIS JOHAN ADS1M 2014

KUALA PERLIS: Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis dan Kampung Parit Tengah, Batu Pahat di Johor menerima Anugerah Desa Wawasan kategori Kampung Tradisional sempena Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) peringkat kebangsaan 2014, di sini hari ini. 

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kampung Kurong Tengar, dengan setiap kampung menerima hadiah keseluruhan berjumlah RM700,000, merangkumi wang tunai RM50,000 dan projek ekonomi bernilai RM650,000. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kurong Tengar, Arani Mahmud, berkata anugerah itu adalah hasil penyatuan tenaga semua penduduk kampung tanpa mengira umur.


Beliau berkata penduduk kampung itu sudah melakukan pelbagai inovasi antaranya membuat perangkap sampah daripada bahan-bahan terbuang. "Kita kumpul botol plastik, buat perangkap sampah untuk bersihkan sungai, ..untuk cintai sungai kita," katanya di sini hari ini. 


Beliau berkata mereka turut membuat baja takapura daripada sisa buangan di rumah untuk digunakan sebagai baja tanaman. Menerusi sistem itu, Arani berkata mereka secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah tapak pelupusan sampah di kampung itu. 

Penduduk di Kampung Kurong Tengar berjumlah sebanyak 480 orang dengan 106 buah rumah dan kebanyakannya bekerja sebagai petani serta nelayan. Arani berkata bagi menampung permintaan mempelam harum manis yang tinggi, setiap rumah di kampung itu juga diminta menanam lima batang pokok itu. 

ADS1M yang bermula tahun lalu, adalah gabungan dua pertandingan di peringkat luar bandar iaitu Anugerah Desa Cemerlang serta Anugerah Desa Sejahtera. Empat kategori dipertandingkan iaitu Kampung Tradisional, Rumah Panjang Sarawak, Kampung Baru Cina dan Kampung Orang Asli. 

Kampung Orang Asli Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor memenangi kategori Kampung Orang Asli; Kampung Baru Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah (kategori Kampung Baru Cina) dan Kampung Changgan, Ng Ijit, Julau, Sarikei, Sarawak menerima anugerah sebagai Rumah Panjang Terbaik. 
banner
Previous Post
Next Post

0 comments: