Langkawi: Asap tebal berwarna-warni iaitu hijau, merah, putih dan hitam yang memenuhi ruang udara Langkawi sejak Selasa lalu, menjadi lambang warna bendera negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang melakukan persembahan cukup memukau pada LIMA’15 kali ini.
Pasukan Al-Fursan UAE yang pertama kali menyertai LIMA’ 15 membuat persembahan aerobatik sehingga mendapat pujian pengunjung yang sentiasa menantikan kemunculan pesawat negara berkenaan.
Ketua Pasukan, Leftenan Kolonel Nasser Ahmed Al Obaidli berkata, tujuh jet pejuang jenis MB339 digunakan dalam persembahan aerobatik itu sebenarnya melambangkan tujuh negeri dalam UAE iaitu Abu Dhabi, Dubai, Sharjah, Ajman, Um Al Quain, Ras Al Khaima dan Al Fujairah.
“Kami teruja dan gembira kerana baru pertama kali menyertai LIMA’15. Rakyat di negara ini sangat baik hati dan peramah. Oleh itu kerajaan UAE bersetuju untuk menghantar pasukan Al-Fursan ke sini untuk memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia.
“Kami mengambil masa tiga hari untuk sampai ke Malaysia bagi menyertai LIMA’15. Kami berlepas dari UAE dan singgah di beberapa negara termasuk India sebelum ke sini,” katanya.
Beliau berkata, seramai 40 kru termasuk tujuh juruterbang Al-Fursan dari Tentera Udara UAE datang awal untuk menyertai LIMA’15.
“Sebelum ini, kami pernah mengadakan pertunjukan di beberapa negara termamsuk Oman, Kuwait, China, Bahrain, Itali dan Belgium,” katanya.
Nasser berkata, pengalaman membuat persembahan di Malaysia sempena LIMA’15 adalah pengalaman menarik kerana dapat berjumpa dengan rakyat negara ini yang baik hati.
Katanya, semua juruterbang pasukan itu yang ditubuhkan pada 2010 mendapat latihan intensif di Itali bagi membuat persembahan aerobatik sebelum pulang ke tanah air mereka.
Sementara itu, wartawan Harian Metro yang berpeluang bertemu secara eksklusif, berasa teruja dapat melihat sendiri kecekapan dan disiplin tinggi juruterbang serta kru dalam membuat persiapan sebelum mereka melakukan persembahan.
Sebelum melakukan penerbangan, juruterbang akan membuat persiapan satu jam lebih awal termasuk memakai pakaian khas dan melakukan pemeriksaan sendiri enjin pesawat berkenaan meskipun sudah dilakukan kru sokongan.
Tahap disiplin yang tinggi ditunjukkan apabila mereka bergerak dalam keadaan berkawad seiringan ketika berjalan menuju ke pesawat masing-masing sambil membawa topi keledar dan melakukan persiapan akhir sebelum terbang.
Sebagai ‘simbolik’ tujuh pesawat ini akan melepaskan asap ‘warna warni’ sebagai tanda isyarat akan memulakan penerbangan aerobatik dengan lima pesawat berlepas dahulu sebelum dua pesawat menyusul.
0 comments: