LANGKAWI: Pelumba Slovakia, Michal Lami dan Eva Lechner dari Itali menepati ramalan apabila muncul juara keseluruhan kategori Lelaki dan Wanita Elit dalam Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2014 yang berakhir di sini, hari ini.
Lami, dari pasukan kebangsaan Slovakia, menduduki tempat kesembilan pada peringkat kelima dan terakhir hari ini namun ia mencukupi untuknya mengekalkan jersi kuning yang dimenangi pada peringkat keempat semalam.
Ini membolehkannya dinobatkan sebagai juara kategori Lelaki Elit edisi kelima perlumbaan ini.
Selepas tamat perlumbaan hari ini yang membabitkan 11 pusingan di atas trek 1.6km (17.6km) di Pantai Lagenda, Lami yang pertama kali menyertai LIMBC mencatatkan masa terkumpul sembilan jam 14 minit 19.50 saat (9:14:19.50s) untuk mengetepikan tiga juara sebelum ini iaitu Karl Platt (2011), Fabian Giger (2012) dan Kohei Yamamoto (2013).
Paling menarik, Lami muncul juara keseluruhan tanpa muncul pemenang bagi mana-mana peringkat sejak kejohanan bermula dengan acara prolog ujian masa individu Isnin lepas.
Pelumba Jerman, Platt yang mewakili Bulls Team di tempat kedua keseluruhan dengan catatan masa 9:14:54.30s manakala Giger dari Switzerland yang mewakili pasukan Giant Pro XC di tempat ketiga dengan catatan 9:17:13.00s.
Lami jelas gembira kerana pada kemunculan sulungnya berjaya menewaskan tiga bekas juara sebelum ini.
"Bagi pusingan pertama perlumbaan hari ini, saya berada dalam kumpulan pertama tetapi gagal mengejar pada pusingan kedua... namun, saya tidak kisah kerana mahu menumpukan perhatian kepada gelaran juara keseluruhan selain mengekalkan jersi kuning yang dimenangi semalam.
"LIMBC adalah perlumbaan terakhir saya bagi tahun ini. Selepas ini, saya mahu berehat sepuas-puasnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Pada peringkat kelima hari ini, pelumba kebangsaan Denmark mendominasi tiga tempat teratas dengan Sebastian Fini Cartensen muncul pemenang dengan catatan masa 28 minit 11.70 saat (0:28:11.70s) manakala Nells Bech Rasmussen di tempat kedua (0:28:13.40s) manakala Louis Bendixen di tempat ketiga dengan catatan masa 0:28:13.80.
Dalam kategori Wanita Elit, Lechner yang mewakili pasukan Colnago Suditrol terus cemerlang mengekalkan jersi merah jambu selepas mencatatkan masa keseluruhan 9:15:55.30s manakala pelumba Slovenia, Tanja Zakelj yang mewakili pasukan Unior Tools di tempat kedua (9:26:16.90s).
Pelumba senegara Zakelj, Blaza Klemencic yang mewakili pasukan Slovenia di tempat ketiga dengan catatan masa 9:28:53.50s.
Lechner berkata beliau amat gembira muncul juara tahun ini yang disifatkan sebagai pertandingan yang menyeronokkan dan berharap dapat menyertai edisi keenam LIMBC tahun hadapan bagi membolehkannya mempertahankan kejuaraannya.
Bagi peringkat kelima kategori Wanita Elit membabitkan jarak 16 km (10 pusingan) hari ini, Lechner memenangi perlumbaan dengan catatan masa 0:30:48.30s manakala Klemencic di tempat kedua (0:30:52.40s) dan rakan sepasukan Lechner, Nathalie Schneitier dari Switzerland di tempat ketiga dengan catatan masa 0:31:00.20s.
0 comments: